Tuesday, April 27, 2010

Pesanan Buat Kaum Cina - 2

Dalam bab 1, Pak Cu ada berbincang mengapa kepercayaan masyarakat cina terhadap BN mula pudar. Keputusan PRK Hulu Selangor telah pun diketahui dan seperti pilihanraya-pilihanraya sebelum ini, kemerosotan undi masyarakat cina kembali menjadi isu utama.

Pak Cu ingin menyentuh sedikit tentang keputusan PRK tersebut. Bagi Pak Cu, keputusan tersebut sedikit sebanyak memberi gambaran bahawa sokongan majoriti rakyat Malaysia telah kembali kepada Barisan Nasional. Sejak PRU Ke 12, pada hakikatnya sokongan rakyat terhadap BN telah merosot dengan teruk sekali. Jika Pak Lah mengambil keputusan pantas untuk berundur lebih awal, keadaan tidak akan menjadi seteruk ini. Berdasarkan keputusan PRU Ke 12, pada ketika itu sokongan rakyat pada BN adalah sekitar 63%. Dalam tempoh setahun selepas itu, ianya merosot sehingga dibawah 30%. Dengan kata lain jika diadakan semula PRU pada 2009, yakni sebelum DS Najib mengambil alih teraju kepimpinan negara, parti pembangkang akan menang dengan majoriti lebih 2/3. Sepatutnya KPI untuk DS Najib, haruslah dinilai bermula dari sini.

Dari keputusan PRK Hulu Selangor, dilihat keyakinan rakyat terhadap BN telah kembali seperti tahun 2008. Kombinasi kepimpinan DS Najib dan TS Muhyiddin telah berjaya memenangi kembali hati rakyat yang telah hilang kepercayaan terhadap kepimpinan Pak Lah selepas PRU Ke 12. Mendapatkan kembali sokongan kepada melebihi 60% (peningkatan sebanyak 30%) dalam tempoh setahun, bagi Pak Cu adalah sesuatu pencapaian yang amat cemerlang. Dan bagi pihak pembangkang, mereka tidak boleh lagi untuk mendabik dada kerana dalam tempoh setahun pentadbiran DS Najib, mereka kehilangan 30% kepercayaan rakyat terutama dari orang Melayu dan India. Peningkatan sokongan masyarakat Cina terhadap mereka tidaklah sehebat mana kerana kaum Cina di Malaysia hanya mewakili 25% dari keseluruhan suara rakyat Malaysia.

Jadi apa yang Pak Cu lihat, pada hakikatnya, pembangkang amat bimbang dengan kemerosotan undi Melayu dan India. Tetapi mereka terpaksa membesar-besarkan tentang sokongan kaum Cina terhadap mereka melalui media alternatif yang kebanyakkannya adalah terdiri dari pemberita yang pro-pembangkang, supaya moral ahli-ahli mereka tidak terjejas. UMNO dan BN tidak perlu terikut-ikut dengan rentak mereka. Adalah suatu keperluan bagi BN untuk mengkaji tentang kemerosotan ini, tetapi sebarang tindakan haruslah dibuat dengan kajian yang teliti agar BN tidak kehilangan sokongan kaum Melayu dan India disebabkan terlalu melayan kehendak masyarakat Cina untuk mendapatkan undi mereka.

Politik balas dendam juga haruslah dijauhi sepenuhnya. Terdapat suara-suara sumbang yang meminta kerajaan membekukan bantuan kepada kaum Cina atas sikap belot mereka. Ini bukan suatu tindakan yang bijak. Begitu juga jika kepimpinan negara mengambil keputusan untuk memberi layanan istimewa terhadap kaum Cina. Tindakan terbaik adalah balik kepada suasana sebenar yang telah menjadi amalan pentadbiran BN sejak negara kita mencapai kemerdekaan. Hak-hak setiap kaum harus dipelihara. Kerajaan tidak boleh meminggirkan masyarakat Cina dan dimasa sama juga tidak boleh melayan semua kehendak mereka sehingga terpaksa mengorbankan hak kaum lain.

Jangan sesekali berjanji sesuatu yang kita tidak mampu tunaikan. Sebagai contoh, jika masyarakat Cina inginkan hak sama rata dengan kaum melayu, kemahuan ini haruslah tidak diberi layanan. Tetapi jika mereka meminta bantuan untuk meningkatkan sistem pendidikan mereka, kerajaan boleh mempertimbangkan permohonan tersebut, dan dalam masa sama bantuan yang sama hendaklah diberikan kepada Sekolah Agama Rakyat serta Sekolah Tamil. Ini dinamakan keadilan.

Pemimpin pembangkang seperti Anwar Ibrahim semestinya mempunyai rasa bimbang terhadap kemerosotan sokongan bangsa sendiri terhadap mereka. Walau bagaimana pun beliau begitu masak dengan sikap orang Melayu. Bagi beliau, untuk memperolehi undi melayu tidaklah sesukar bagi mendapatkan kepercayaan orang Cina. Bagi beliau, orang melayu mudah dibelai dan mereka mudah memaafkan kesalahan orang lain. Jalan terbaik untuk memperolehi kembali sokongan Melayu adalah dengan mengaitkan kerajaan dengan yahudi. Itulah apa yang sedang beliau lakukan. Alunan muzik yang dimainkan Anwar menyebabkan masyarakat melayu leka dan lupa bahawa tanpa bantuan yahudi, PKR sudah lama hilang tanpa nisan.

PAS pula memainkan perana mengeluarkan fatwa-fatwa yang akan memberi kelebihan kepada mereka. Seperti di Hulu Selangor, mereka berkata tindakan menyerang peribadi seseorang adalah sesuatu yang bertentangan dengan ajaran islam dan memberi undi kepada orang bukan islam adalah haram. Lagi sekali orang melayu leka dan lupa bahawa amalan tersebut telah pun menjadi darah daging kepimpinan PAS sekarang. Mereka menghentam calon BN di Permatang Pasir sehingga merosakkan rumah tangga beliau dan orang melayu juga lupa bahawa orang pertama yang membuka aib Anwar Ibrahim tentang kes liwatnya dipentas khalayak adalah pemimpin PAS sendiri. Begitu juga dengan kerjasama dengan bukan islam, PAS lebih rela bekerjasama dengan DAP daripada bekerjasama dengan UMNO. Mereka lebih mempunyai perasaan syak wasangka terhadap sesama islam berbanding dengan DAP yang begitu terkenal dengan sikap suka mengambil kesempatan disaat orang islam berpecah belah.

Kepada orang Melayu, kita tidak boleh terus menganggap masyarakat Cina sebagai musuh kita. Musuh kita yang sebenar adalah Cina DAP, iaitu satu kelompok dalam masyarakat Cina yang begitu bersungguh-sungguh mahu merampas hak kita. Kelompok inilah yang harus ditentang dan dipulau oleh seluruh orang Melayu yang beragama islam.

No comments:

Post a Comment