Friday, March 27, 2009

UMNO Patah Sayap

Kemenangan Tan Sri Muhyiddin Yasin sedikit sebanyak mengubati luka ahli-ahli UMNO di peringkat bawahan yang ingin melihat UMNO kembali bersih dan kembali mendapat tempat di hati rakyat Malaysia. Peristiwa hitam sehari sebelumnya amat menguris hati dan perasaan mereka apabila amanah yang diserahkan kepada ketua-ketua mereka telah dikhianat dengan cara begitu hina sekali. Dari pengamatan Pak Cu, sekurang-kurangnya 40% dari bahagian-bahagian UMNO dipimpin oleh mereka yang tidak berakhlak terutamanya pemimpin-pemimpin muda. Peratusan ini adalah suatu angka yang amat membimbangkan dan ianya menjadi bukti jelas kepada semua ahli UMNO mengapa rakyat Malaysia menolak Barisan Nasional yang ditunjangi oleh UMNO.

Jika beginilah kualiti kepimpinan muda yang terdapat di dalam UMNO, maka tidak hairanlah mengapa generasi muda tidak berminat untuk mendekati UMNO. Buatlah seberapa banyak post-mortem sekalipun, jika kita gagal untuk mengakui kelemahan nyata ini, segala usaha untuk menarik lebih ramai golongan muda untuk mendampingi UMNO akan menjadi usaha yang sia-sia.

Pada pendapat Pak Cu, usaha pemulihan yang terbaik bagi menyelamatkan UMNO adalah mengantung keahlian mereka ini. Tindakan pengantungan ini hendaklah disegerakan walaupun terdapat kemungkinan golongan ini akan melompat parti dan UMNO akan kehilangan kerusi di Parlimen. Jika tiada tindakan segera diambil, keadaan akan menjadi bertambah buruk dan UMNO mungkin akan sampai ke tahap yang tidak boleh dirawat lagi. Pak Cu yakin setelah kudis-kudis ini diubati, pemimpin-pemimpin veteran UMNO yang pernah berdepan dengan situasi yang sama semasa krisis 1987 dan 1998 seperti Datuk Seri Najib sendiri dan Tan Seri Muhyiddin dapat bersama-sama memulihkan semula sokongan rakyat terhadap UMNO.

UMNO umpama burung yang patah sayap. Pembedahan segera perlulah dijalankan segera sebelum terlambat.

No comments:

Post a Comment