Saturday, March 28, 2009

Gerakan Memulihkan UMNO

Wakil-wakil kepada ahli UMNO (tidak layak untuk menyebut ahli UMNO secara keseluruhan, kerana ada perwakilan yang telah mengkhianati amanah) telah pun membuat pilihan mereka bagi memilih pemimpin yang akan menjadi pengerak dalam memulihkan UMNO. Riaksi yang diterima pada peringkat bawahan bercampur-campur. Secara kesimpulannya dari pandangan Pak Cu, pilihan yang dibuat adalah sederhana. Dari segi bintangnya, Pak Cu hanya bagi 3 bintang saja.
Calon bagi 3 jawatan tertinggi iaitu Presiden, Timbalan Presiden dan Naib Presiden adalah dikalangan yang terbaik pada pandangan Pak Cu. Cuma bagi Pak Cu, Datuk Zahid sahaja yang agak boleh dipertikaikan kerana sejarah silam beliau yang dilihat sebagai kroni Datuk Seri Anwar. Walau bagaimana pun, beliau telah memulihkan kepercayaan ahli setelah bertindak sebagai "Master Mind" dalam jatuhnya kerajaan ala komunis di Perak.
Pemilihan Datuk Seri Hisham dilihat sebagai tepat pada masanya bagi mengimbangi perjuangan Pergerakan Pemuda setelah sayap UMNO menghalalkan kepimpinan rasuah. Sudah pasti suara Datuk Seri Hisham masih kuat dalam pergerakan itu, setidak-tidaknya dapat menambah sedikit keyakinan generasi muda terhadap UMNO.
Datuk Seri Shafie dilihat sebagai penghubung antara UMNO Sabah dan Semenanjung. Sepatutnya sejak dulu lagi satu kerusi Naib Presiden patut dikosongkan bagi diisi oleh pemimpin dari Sabah agar tidak kelihatan seakan-akan UMNO Sabah dipinggirkan. Budaya memilih satu kerusi Naib Presiden bagi UMNO Sabah patut diteruskan bagi menjaga keharmonian di dalam UMNO.
Bagi jawatan Ketua Wanita pula, Pak Cu sependapat dengan Tun Dr. Mahathir bahawa kedua-dua calon tidak sesuai. Yang menjadi masalahnya, tak ada pemimpin Pergerakan Wanita UMNO yang boleh ditonjolkan serta mempunyai kekuatan sendiri hingga melayakkan mereka memegang jawatan tersebut. Suasana kepimpinan wanita amat berbeza sekali semasa Tan Sri Rafidah mula-mula mengambil alih kepimpinan pergerakan itu pada 1984. Kewibawaan Rafidah begitu menonjol sekali ketika itu. Walau bagaimana pun prestasi beliau amat merosot sekali mungkin kerana memegang jawatan tersebut terlalu lama.
Bagi kepimpinan Pergerakan Pemuda pula, amat menyedihkan. Ini menjadi sejarah hitam sepanjang keujudan sayap UMNO itu apabila dengan rela hatinya menggadai maruah dan harga diri dengan melantik seorang pemimpin yang didapati bersalah dengan gejala rasuah. Pak Cu tak mahu menuduh keterlaluan kerana boleh jadi keputusan tersebut telah dimanipulasikan. Jika benar keputusan itu dimanipulasikan, mereka yang terlibat dengan kerja keji tersebut patut dihina sehina-hinanya oleh anak cucu kita jika orang melayu merempat ditanah air mereka. Yang nyatanya orang yang terpilih itu sendiri tidak dapat melarikan diri dari penghinaan ini. Mungkin kecelakaan menimpa Pergerakan Pemuda UMNO akibat badi keceluparan Karpal Singh.
Bagi jawatan Majlis Tertinggi pula, pada pengamatan Pak Cu, terdapat beberapa orang yang sememangnya tidak layak menjawat jawatan tersebut terutama mereka yang dikaitkan dengan kem Datuk Seri Abdullah.

No comments:

Post a Comment