Wednesday, May 13, 2009

Tidak Perlu Pilihanraya Semula Di Perak

Keadaan di Perak menjadi semakin haru biru. Memburukkan keadaan bila ada pihak yang cuba menjadi jaguh dengan berselindung disebalik suara rakyat kononnya rakyat Perak mahukan satu pilihanraya baru. Yang peliknya, suara-suara sumbang ini datangnya dari mereka yang mempunyai pengalaman yang luas dalam selok-belok politik. Boleh jadi golongan ini masih mengharapkan sisa-sisa yang ada untuk kembali bersaing dalam persada politik negara setelah beberapa kali kecewa.

Dari maklumat dan khabar yang Pak Cu terima, majotiti rakyat Perak lebih bersikap berkecuali malah perasaan meluat dan menyampah melihat lakonan dan mainan politik yang tidak berkesudahan dari kedua-dua belah pihak. Jadi majoriti suara rakyat Perak mengambil jalan tengah dan mereka sudah tidak kisah dan malas fikir, siapa yang menjadi MB kerana sesiapa saja yang menjadi pemimpin negeri, majoriti rakyat Perak tidak mendapat faedah yang banyak. Hanya penyokong kedua-dua MB itu saja yang bersungguh-sungguh kerana masing-masing akan memperolehi durian runtuh.

Sebab tu Pak Cu yakin, adalah satu penipuan yang besar jika dikatakan bahawa rakyat Perak mahukan pilihanraya semula. Yang menampakkan suasana penentangan rakyat terhadap keputusan Sultan itu hanyalah beberapa ribu penyokong tegar pembangkang yang terbaring di atas jalanraya. Inilah kelebihan besar yang ada pada parti pembangkang dimana penyokong mereka begitu bersemangat dan taat setia kepada apa yang pemimpin mereka katakan. Mereka rela memperbodohkan diri sendiri demi melindungi pemimpin mereka.

Suasana sebaliknya berlaku dikalangan penyokong BN dimana mereka lebih bersikap berdiam diri dan diselimuti rasa selesa. Oleh itu, orang luar melihat seakan-akan lebih ramai rakyat yang memberontak. Keadaan akan menjadi bertambah kacau bilau jika pemimpin BN mengerah para penyokong fanatik mereka sama-sama memberontak dijalanraya.

Walaupun di adakan pilihanraya baru, Pak Cu yakin, tak akan ada parti politik yang akan memperolehi majoriti 2/3. Ini tidak akan memperbaiki keadaan kerana kerajaan yang akan dibentuk sentiasa terdedah kepada kes-kes melompat parti. Keadaan akan kembali seperti mana yang berlaku sekarang. Adakah pilihanraya semula akan dijalankan berulang kali sehingga salah satu parti memperolehi suara 2/3? Persoalan ini ingin Pak Cu tujukan kepada Tengku Razaleigh Hamzah dan Pengerusi SUHAKAM, Tan Sri Abu Talib Osman.

Untuk mengadakan suatu pilihanraya di Perak, tidak kurang dari 30 juta ringgit terpaksa dibelanjakan. Adakah wang sebanyak itu patut dibelanjakan demi memenuhi impian para ADUN pembangkang untuk kembali berkuasa di Perak. Adakah Nizar mempunyai sesuatu kebolehan yang terlalu istimewa sehingga rakyat Perak tidak dapat menunggu sehingga pilihanraya ke-13 untuk kembali meletakkan beliau sebagai MB Perak?

1 comment:

  1. Pulangkan kuasa kepada rakyat, atau pulangkan kuasa kepada dap?

    Racun telah merebak. Sukar untuk dibuang racun yang telah meresap sekarang...

    ReplyDelete