Thursday, May 20, 2010

Teguran Ikhlas

Kali ini Pak Cu memilih untuk menegur orang UMNO dan blogger yang pro UMNO. Walau pun besar kemungkinan Pak Cu akan kena marah, tapi Pak Cu rasa adalah tanggungjawab Pak Cu untuk memberi pandangan demi kebaikkan UMNO. Pak Cu bukan orang kuat UMNO tapi atas dasar sayangkan parti keramat ini Pak Cu gagahkan juga memberi komen ini. Pak Cu membesar dengan jasa-jasa pemimpin terdahulu UMNO hingga Pak Cu boleh sampai ke tahap Pak Cu sekarang.

Pak Cu tengok sekarang wujud satu perubahan ketara dalam senario politik negara kita. Maksud Pak Cu, perbezaan antara UMNO dan PAS. Bermacam orang cerita tentang kemerosotan sokongan rakyat terhadap UMNO. Bermacam hujah dan penyebab diutarakan yang mana ada yang betul dan ada yang tidak benar sama sekali. Bagi pendapat Pak Cu, faktor utama UMNO ditolak dan penyebab utama PAS semakin diterima rakyat berbilang kaum adalah berpunca dari transformasi kedua-dua parti politik tersebut. Dengan kata mudah, UMNO telah berubah bentuk untuk menjadi PAS dan PAS pula telah bertukar menjadi UMNO.

PAS kini sudah berubah pandangan politik mereka dari menjadi parti jumud kepada sebuah parti yang begitu terbuka. Contoh paling mudah adalah kalau dahulu pemimpin PAS selalu melaung-laungkan saranan bahawa mengundi calon bukan islam adalah haram, tetapi kini perubahan ketara dapat dilihat dengan perginya pemimpin lama dan datangnya pemimpin baru dalam PAS. Kini PAS sudah dapat menerima DAP yang dulu secara terang-terangan menentang Undang-undang Islam yang cuba diperkenalkan oleh PAS. PAS kini sudah sedar, jika mereka ingin berkuasa di Malaysia, mereka tidak hanya boleh bergantung harap kepada undi orang Islam sahaja yang kebanyakkannya adalah Melayu. Mereka kini sudah bijak melayan orang bukan islam agar menyokong mereka dengan konsep keterbukaan. Mereka cukup bijak menjaga sensitivity orang bukan Islam agar tidak diperdebatkan secara terbuka.

Sebaliknya pula berlaku pada UMNO. Walaupun DS Najib begitu bersungguh-sungguh memperkenalkan konsep 1Malaysia, tetapi terdapat sebilangan besar pemimpin dan penyokong UMNO tidak mendalami sedalam-dalamnya pengertian konsep tersebut. Mereka secara terang-terangan menghentam kaum lain secara terbuka. Tidak cukup dengan itu, segala jenis cacian dan makian dilemparkan kepada kaum lain tanpa menjaga sensitivity mereka. Semua ini dilakukan sewenang-wenangnya kerana mereka yakin bahawa kerajaan tidak akan mengambil sebarang tindakan jika mereka meniup api perkauman tersebut sebab mereka adalah penyokong kerajaan.

Kadang-kadang terlintas juga difikiran Pak Cu, mungkin ada musuh dalam selimut yang mahu menghancurkan UMNO dari dalam. Puak ini mengapi-apikan penyokong UMNO untuk mengeluarkan kenyataan-kenyataa secara terbuka yang menyentuh isu sensitif berbau perkauman. Tujuan mereka hanya satu, untuk melihat UMNO ditolak oleh masyarakat bukan islam serta mengharu-harakan kerjasama erat yang telah lama terjalin antara UMNO dan parti komponen BN yang lain. Ramai yang termakan dengan racun ini termasuklah blogger-blogger yang Pro UMNO.

Sebelum ini mereka meracun orang UMNO untuk bergaduh dengan masyarakat cina. Mereka berjaya didalam misi mereka dimana kaum cina sudah mula menjauhi UMNO dan BN. Kini, mereka cuba untuk memecah belahkan hubungan akrab UMNO dengan parti komponen lain di Sarawak. Blogger-blogger sudah mulai menghentam pentadbiran TS Taib Mahmud dan tanpa segan silu masuk campur dalam urusan pentadbiran Sarawak yang menjadi pantang tok nenek moyang mereka. Pak Cu tak dapat bayang apa akan berlaku jika hari ini, Ketua Menteri Sarawak itu membuat kenyataan bahawa semua parti komponen BN di Sarawak mengumumkan mereka keluar BN dan menyokong pembangkang. Mahu cirit birit pemimpin dan penyokong UMNO.

Tidak salah untuk menegur, tetapi perlulah berhemah. Jangan main hentam sebarang sahaja. Dalam kes Sarawak, walaupun TS Taib Mahmud sudah lama memagang tampok kuasa di negeri tersebut, sehingga kini Pak Cu tidak nampak seorang pun pemimpin Sarawak, baik dari BN mahupun pembangkang yang mampu mentadbir masyarakat berbilang kaum di Sarawak. Ibaratnya begini, jika Malaysia mempunyai Mahathir, Sarawak membangun kerana Taib Mahmud. Bukan tugas mudah untuk menjaga kebajikan kaum iban di Sarawak. Bukti kukuh tentang kemampuan beliau adalah, TS Taib adalah dari kaum Melanau, iaitu satu kaum yang boleh dikatogerikan sebagai kaum minoriti di Sarawak. Tetapi beliau terus mendapat kepercayaan semua lapisan masyarakat di Sarawak sekian lama. Jika tidak sudah lama beliau jatuh jika beliau tidak berkemampuan.

Cukuplah sekali rakyat Malaysia melakukan kesilapan dengan meminta Tun Mahathir berundur kerana termakan hasutan Anwar. Jangan racun pemikiran rakyat sarawak untuk mengulangi kesilapan yang sama. Bukan untuk memuji sebarangan, TS Taib semasa mudanya amat kuat bekerja. Sebut hulu mana di Sarawak beliau tidak sampai. Kini beliau sudah berusia. Sepatutnya pemimpin pelapis di Sarawak meniru kerajinan beliau untuk bertemu rakyat. Faktor geografi Sarawak yang menyebabkan seseorang pemimpin itu perlu tabah berdepan dengan cabaran untuk bersua muka dengan rakyat di pendalaman.

Begitu juga dengan bermacam isu rasuah yang dihidang kepada kita tentang TS Taib. Pak Cu tidak faham, bagaimana kita begitu mudah menjamah hidangan yang disediakan pembangkang hasil resepi Anwar. Segala tuduhan tersebut tidak disertakan dengan bukti. Kalau setakat bukti keratan akhbar, habislah Malaysia ini tidak mempunyai pemimpin. Yang sedihnya, orang BN sendiri turut sama menghentam beliau. Pak Cu nak cerita pengalaman yang Pak Cu sendiri alami ketika bertugas di Sarawak. Budaya membawa gambar seseorang itu bersalaman dengan Ketua Menteri atau menteri untuk memohon kontrak adalah satu kebiasaan. Tujuan mereka untuk memberi gambaran betapa akrabnya mereka dengan menteri tersebut. Kadang-kadang mereka sanggup untuk mengakui menteri tersebut ada saham dalam syarikat mereka. Kalau tidak dikaji dengan mendalam, kita pasti termakan dengan cerita mereka.

Jadi Pak Cu ingin menasihat para blogger sekalian, jangan menulis artikal secara keterlaluan dan mencampuri urusan politik orang Sarawak. Pak Cu yakin TS Taib ada cara beliau sendiri kerana beliau begitu masak dengan politik Sarawak. Jangan kita tumpang semangkuk dengan pembangkang menghentam pentadbiran Sarawak.

Akhir sekali, Pak Cu ingin menyusun jari sepuluh untuk memohon kemaafan jika tulisan Pak Cu ini mencuit hati sesiapa saja. Niat Pak Cu ikhlas dan tidak mempunyai sebarang prasangka.

4 comments:

  1. Pemimpin harus tidak melatah dengan teguran ahli UMNO di bawah. Ini kerana akar umbi sudah tentu tau apa yang diperkatakan oleh orang ramai berbeza dengan pemimpin seperti PM yang mungkin hanya mendengar ampuan dari Yes Man.

    here

    ReplyDelete
  2. Jadi pemimpin mestilah berfikiran terbuka. Terbuka untuk menerima teguran dari ahli UMNO. Kalau tidak, jadilah diktator macam Samy Vellu dalam MIC tu.

    PKR=Illmuninati.

    ReplyDelete
  3. bagi syer UMNO perlu melakukan sesuatu untuk mengukuhkan kedudukan orang melayu kalau diorang nak tanpa menyentuh sensitiviti kaum laen
    Di mana kene pinda balik status Islam sebagai agama rasmi secara literal dahulu. Adakah cukup sekadar rukun Islam dan Rukun Iman atau mengambilnya secara syumul iaitu seluruh syariatnya?
    Kerana ketidak jelasan itulah kaum laen boleh wat sewenang-wenangnya.

    ReplyDelete