Wednesday, August 18, 2010

Peranan UMNO, MCA, MIC dan Gerakan

Sekarang ini heboh diperkatakan tentang pelbagai tingkah laku sumbang presiden MCA, Datuk Seri Chua Soi Lek. Beliau seakan-akan cuba menjuarai suara masyarakat cina di Malaysia dengan alasan untuk menarik kembali sokongan orang cina terhadap MCA dan BN. Bagi Pak Cu jalan yang diambil oleh pemimpin tertinggi MCA tersebut adalah jalan pintas yang tak akan memberi sokongan yang berpanjangan kepada beliau dan MCA.

Pak Cu tengok pemimpin BN sekarang sudah menjadi tidak keruan. Mereka menjadi kelam kabut kerana sokongan rakyat terhadap mereka tidak menampakkan impak yang besar. Jika suasana ini belarutan, malapeka besar akan berlaku dimana rakyat Malaysia akan dipimpin oleh seorang pemimpin yang mempunyai kegemaran di luar tabie'.

Sepatutnya parti-parti komponen BN bergerak mendekati kaum yang mereka wakili dan memberi kefahaman kepada mereka tentang hak dan cara untuk hidup di dalam sebuah negara yang berbilang kaum. Pak Cu tidak tujukan kepada MCA sahaja malah ini juga melibatkan UMNO, MIC, Gerakan, PPB, PBS dan sebagainya. Jika membiar ahli parti atau kaum yang mereka wakili memberi arahan kepada pemimpin parti, maka hancurlah tujuan dan harapan pemimpin terdahulu menubuhkan parti tersebut.

Bukan maksud Pak Cu untuk meminta pemimpin BN untuk menolak suara akar umbi. Ini tidak benar sama sekali. Apa yang Pak Cu maksudkan, tidak semua apa yang diminta oleh ahli akar umbi itu semuanya betul. Sepatutnya, sebagai pemimpin, mereka haruslah memainkan peranan untuk memberi pemahaman kepada ahli akar umbi walau pun apa yang hendak disampaikan bertentangan dengan suara majoriti. Sebagai contoh, memang tidak dinafikan suara majoriti masyarakat cina mahukan hak keistimewaan orang melayu ditarik balik. Ini kerana, tindakan tersebut pastinya menguntungkan masyarakat cina di Malaysia. Tetapi, apa pula perasaan orang melayu? Hanya melayu bodoh sombong sahaja yang sanggup ianya ditarik balik. Jika perkara ini dibiar berlarutan tanpa penjelasan yang sewajarnya, maka tidak mustahil akan berlaku rusuhan kaum seperti 13 Mei.

Jika ini berlaku, siapa yang akan untung? Tiada seorang pun yang akan untung kecuali mereka yang bersungguh-sungguh hendak jadi pemerintah. Tidak kira melayu, cina, india atau bangsa apa sekali pun, pastinya akan terkena tempis dari kekacauan tersebut. Rusuhan akan menyebabkan kerosakan harta benda, kehilangan nyawa serta mengganggu tugas kita seharian. Mengapa kita harus biarkan semua ini berlaku di negara kita yang tercinta ini. Tidak bolehkah kita belajar bersyukur dengan apa yang kita ada sekarang? Walau pun dengan hak keistimewaan, orang melayu masih jauh di belakang orang cina.

Oleh itu, sikap sebeginilah yang harus ada dalam hati sanubari setiap pemimpin BN. Mereka harus turun ke bawah disamping mendengar keluhan rakyat, mereka juga bertanggungjawab untuk memberi penjelasan kepada rakyat. Memang ini adalah suatu tugas yang amat berat sebagai seorang pemimpin kepada sesuatu kaum. Tapi, anda yang memilih untuk menjadi ketua kepada kaum anda, maka pikullah tanggungjawab tersebut dengan baik demi keamanan dan kebahagian rakyat jelata.